Korban demi pendidikan cucu

Beijing: Seorang nenek berusia 76 tahun sanggup menolak kerusi roda cucunya yang kurang upaya setiap hari semata-mata mahu memastikan kanak-kanak itu mendapat pendidikan baik seterusnya memberi harapan untuk masa depan lebih cerah.

Shi Yuying yang tinggal di Daizhuyuan, wilayah Guangxi, barat China adalah penjaga utama cucunya, Jiang Haowen, 9, yang mempunyai palsi serebrum sejak berusia dua tahun, lapor portal berita Thepaper.cn.

Ibu bapa Jiang bercerai lima tahun lalu dan bapanya kini bekerja di Guilin untuk menyara keluarga berkenaan. 

Setiap hari, Shi membawa Jiang berulang-alik ke sekolah dan rumah dengan menolak kerusi roda kanak-kanak itu.

Menurutnya, Jiang dilaporkan bijak dalam matematik dan menghafal.

“Dia boleh bercakap, cuma tidak mampu memegang pen dengan betul.

“Saya sangat berharap Jiang mendapat peluang lebih cerah pada masa depan.

“Setiap hari saya mengurutnya dan memberinya herba tradisional yang disiapkan sendiri dengan harapan keadaannya menjadi lebih baik.Malah, tahun lalu dia mampu berdiri tegak dan berjalan untuk jarak singkat dengan sokongan.

“Saya benar-benar berharap dia berpeluang memasuki institusi pendidikan khas,” kata Shi.

 

sumber : hmetro

Hantar Komen