Kurang siuman rupanya…

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki yang menolak kepala seorang wanita warga Indonesia kerana mangsa tidak bertudung di sebuah pondok perhentian bas di Taman Perwira di sini, pada 6 Januari lalu, ditahan polis, malam tadi.

Suspek berusia 31 tahun yang dipercayai tidak waras itu ditahan pada jam 10.30 malam melalui maklumat orang awam yang melihatnya merayau dalam keadaan tidak terurus di kawasan perumahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku marah dan menolak kepala wanita terbabit kerana tidak memakai tudung.

“Kita menahan suspek untuk tindakan lanjut dan membawanya dari Balai Polis Bukit Tengah ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk pemeriksaan kesihatan.

“Suspek berasal dari Ipoh, Perak ini akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 6 Januari lalu, mangsa berusia 24 tahun itu didatangi seorang lelaki dipercayai kurang siuman yang menolak kepalanya berikutan marah kerana wanita itu tidak bertudung.

Bagaimanapun, wanita itu terus beredar bersama kakaknya dan membuat laporan polis semalam selepas video kes berkenaan tersebar luas di laman media sosial.

Nik Ros Azhan berkata, bapa saudara suspek turut mengakui lelaki itu kurang siuman sejak 15 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

 

sumber : BHOnline

Hantar Komen