Pelajar maut digilis lori

TEMERLOH: Seorang pelajar perempuan Kolej Vokasional Temerloh, di sini, maut apabila digilis sebuah lori di Kilometer 4 Jalan Temerloh-Jerantut, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi, mangsa, Nurul Azira Khairul Nizam 17, dikatakan dalam perjalanan ke kolej berkenaan dengan membonceng sebuah motosikal bersama rakannya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmood, berkata siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakannya yang menunggang motosikal itu bergesel dengan sebuah lori yang dalam perjalanan dari arah Temerloh menuju ke Jerantut.

“Akibat pergeseran ini, mangsa yang membonceng motosikal berkenaan terjatuh ke bawah lori dan kepalanya digilis tayar belakang lori,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, mangsa kemudian meninggal serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Mayat sudah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk bedah siasat. Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 

sumber : BHOnline

Soya Lemon

Hantar Komen