‘Staf risikan tak diketahui pegawai lain’

Bilangan pendaftaran terkumpul kenderaan di Malaysia meningkat dengan drastik daripada 20,188,565 pada 2010 kepada 28,839,693.

Ini sekali gus memberikan cabaran kepada agensi berwajib yang menguruskan perkara itu khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pelbagai isu membabitkan JPJ timbul termasuk yang sudah lapuk seperti lesen terbang, kereta klon, integriti pegawai JPJ sehinggalah kepada penubuhan Unit Risikan.

 Kafe Ahad minggu ini berpeluang menemubual Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid yang sebelum ini bertugas di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merungkai persoalan sekitar jabatan berkenaan.
 
 Ikuti temu bual wartawan KALIDEVI MOGAN KUMARAPPA, jurugambar LUQMAN HAKIM ZUBIR dan juruvideo SAIFUL ISKANDAR ISMAIL bersama beliau.

Peningkatan kenderaan berlaku setiap tahun dan sehingga ke tahun ini, berapa jumlah pendaftaran kenderaan di negara ini?

 
Peningkatan jumlah kenderaan menunjukkan pertumbuhan dari segi ekonomi dan kelas sosial. Sebagai jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus hal ehwal kenderaan, peningkatan ini adalah pertambahan tanggungjawab JPJ dalam menguruskan hal ehwal kenderaan.

JPJ adalah pemegang amanah rakyat dalam menyimpan rekod kenderaan.

Jika tidak dijaga dan diurus sebaiknya, satu kenderaan dengan banyak identiti akan bertambah seperti kenderaan klon.

Hala tuju dan cabaran yang Datuk lihat dalam JPJ?

Saya mengambil alih jawatan Ketua Pengarah sejak 18 September 2017, jadi sejak itu memang asasnya saya pun datang dari agensi penguat kuasa, SPRM.

Jadi ruang lingkup kerjanya lebih kurang sama hanya tugas yang berbeza kerana penguatkuasaan undang-undang yang berbeza.

Maksudnya tugas asas saya adalah penguat kuasa, bila datang ke sini saya lebih fokus kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 Akta 333 secara spesifik menguatkuasakan undang-undang jalan raya.

Jadi, setelah berada di sini saya lihat suasana dan keadaan kerja di JPJ, saya merangka satu Hala Tuju JPJ berdasarkan kepada aspirasi kerajaan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan lahirlah buku asas untuk saya bergerak Warkah Tadbir Urus JPJ Ke Arah TN50.

Dalam warkah ini, digariskan apa yang sewajarnya dilaksanakan JPJ untuk sama-sama mendukung hasrat kerajaan mencapai TN50. Akhirnya nanti saya mengharapkan JPJ menjadi satu agensi penguat kuasa undang-undang yang cemerlang.

Memandangkan Datuk daripada SPRM yang terkenal dengan penguatkuasaan integriti, adakah elemen integriti termasuk dalam Warkah Tadbir Urus JPJ Ke Arah TN50?

Meskipun asalnya saya datang daripada jabatan yang menguatkuasakan integriti di negara, tetapi tidak semestinya saya perlu bawa semua elemen dari sana.

Elemen integriti ini perlu dan sedia ada dalam semua jabatan kerajaan dan tidak perlu bawanya daripada SPRM kerana asas-asas yang perlu ada di JPJ hanya elemen berkenaan perlu diperketatkan.

Dalam soal ini, saya tidak mahu orang salah faham bahawa datangnya saya adalah untuk membetulkan integriti JPJ…tidak.

Saya sebenarnya hendak bawa JPJ ke arah yang lebih cemerlang dalam semua aspek termasuk integriti pegawai, sistem dan prosedur dan semua elemen supaya JPJ dilihat sebagai agensi yang cemerlang dan mudah didekati oleh masyarakat.

Sepanjang memegang jawatan Ketua Pengarah JPJ, apakah cabaran yang dilalui?

Cabaran ini tetap sama di mana-mana agensi kerajaan pun. Pertama kita lihat dalam konteks untuk memahami kerja itu sendiri kerana bidang ini di luar tugas asal.

Untuk memahaminya perlu faham aspirasi kerja itu sendiri, akta yang terbabit dan siapa stakeholder yang terbabit di samping dalamannya pegawai itu sendiri.

Cabarannya adalah menangani kerenah birokrasi dalaman, kerenah pelanggan di samping menambah ilmu baru, sistem dan prosedur kerja yang ada.

Isu seperti lesen terbang sudah sebati dengan JPJ. Apakah langkah proaktif yang akan diambil oleh Datuk untuk menangani isu ini dengan berkesan?

Apabila kita katakan adanya lesen terbang, kita secara tidak langsung katakan adanya perkara tidak jujur berlaku dalam JPJ. Itu asasnya maksudnya ada perlakuan tidak berintegriti dalam JPJ sehingga berlakunya perkara-perkara yang diselewengkan.

Lesen terbang bermaksud lesen tidak dibuat mengikut sistem dan prosedur asas.

Sepatutnya dia buat lesen dengan hadir kelas undang-undang, belajar menunggang motosikal dan memandu kereta, hadir ke pemeriksaan, tetapi apabila lesen terbang, dia daftar saja dengan bayaran tertentu.

Selepas cukup masa, dia akan mendapat lesen tanpa menduduki ujian.

Untuk menangani isu ini, apa yang kita perlu buat adalah menekankan nilai integriti dalam kalangan pegawai JPJ. Maksudnya adakan program mingguan atau bulanan yang bersifat memulihkan integriti dan ceramah agama.

Keduanya, memperingatkan nilai integriti ini sentiasa ada dalam kalangan pegawai dan kakitangan JPJ.

Pada masa sama memperketatkan atau membuat semakan ke atas sistem dan prosedur kerja JPJ termasuk urusan lesen dan perhalusi bagi kurangkan potensi untuk berlaku penyelewengan.

Sebab ada juga berlaku perkara lain seperti baru-baru ini, seperti pegawai membuat sesuatu yang tidak diingini ketika ujian memandu, jadi kita pastikan prosedur kerja itu diperketatkan.

Apa langkah seterusnya dalam transformasi sistem penguatkuasaan JPJ?

Dalam usaha ini, di samping mengkaji, menilai dan tambah baik sistem yang sedia ada, kita juga membuat perubahan mengikut peredaran zaman seperti penggunaan teknologi. Lahirkan sistem yang memudahkan masyarakat dengan hanya berurusan melalui telefon bimbit dan tanpa perlu ke kaunter seperti sekarang.

Lahirnya nanti e-JPJ, kita bersama dengan agensi lain yang moden dengan perkenalkan lebih perkhidmatan dalam talian seperti sekarang di kaunter Pusat Transformasi Bandar (UTC), kita menggunakan 1Serve yang mana kaunter boleh membuat sebarang urusan untuk agensi lain sekali seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Bila JPJ akan melaksanakan perkhidmatan dalam talian sepenuhnya?

Sasaran itu sukar ditentukan, tetapi ia secara berterusan. Untuk peringkat awal, pengguna tidak perlu membawa wang tunai sebaliknya menggunakan kad kredit atau kad debit untuk bayaran di kaunter atau dalam talian.

Mengulas mengenai pembukaan stesen JPJ di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), apakah relevannya stesen di lokasi berkenaan dan berapa banyak stesen sedemikian akan dibuka dalam masa terdekat?

Pembukaan stesen JPJ di R&R adalah satu usaha agensi ini dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Plus Malaysia Berhad (PLUS).

Ruang pejabat itu sebenarnya menggantikan pitstop kita. Sebelum ini, tugas rondaan harian memang dilakukan unit bermotor dan kereta di lebuh raya, jadi dengan adanya ruang pejabat di R&R, ia akan memudahkan pegawai untuk berurusan, tempat rehat di samping membuka kaunter untuk orang awam.

Dengan adanya stesen di kawasan hentian, sebuah unit baru turut ditubuhkan iaitu Unit Rondaan Lebuhraya JPJ.

Sebelum ini, mereka akan bergerak dari pejabat untuk membuat rondaan biasa namun dengan adanya stesen di kawasan hentian, unit rondaan lebih mudah bergerak untuk tugas pencegahan.

Masyarakat juga lebih mudah berurusan untuk pelbagai urusan termasuk memperbaharui cukai jalan dalam talian.

Pada peringkat awal, sebuah stesen sudah dibuka di Dengkil, Selangor dan seterusnya akan buka di zon selatan dan utara. Di zon timur pula, unit rondaan lebuh raya akan ditempatkan di stesen penguat kuasa yang sudah sedia ada di tepi lebuh raya. Waktu operasinya adalah sehingga ke malam buat peringkat awal ini.

Orang ramai juga boleh menyemak saman dan membuat aduan berkaitan jenayah trafik.

Menyentuh mengenai sindiket kenderaan klon, adakah JPJ akan mengadakan kerjasama semula dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM untuk menangani masalah berkenaan?

Sindiket klon ini memang sukar untuk ditangani kerana masih ada permintaan untuk kereta jenis ini berikutan harganya yang murah.

Kita masih meneruskan operasi ini dan dilakukan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu bersama JIM bagi mengambil tindakan ke atas pemandu asing dan PDRM.

Operasi ini dijalankan secara berterusan cuma tidak diuar-uarkan kepada umum kerana tindakan itu tidak bermusim. Daripada 2014 hingga 2017, tindakan dijalankan secara berterusan iaitu 93 kenderaan pada 2014, 717 pada 2015, 1901 pada 2016 dan 541 pada tahun lalu.

Pelaksanaan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) mampu untuk menangani isu kenderaan klon.

Berhubung kejadian kebakaran di Kuala Kangsar yang dikatakan membabitkan sindiket klon, apakah tindakan JPJ bagi mengelak kejadian sama berulang di lokasi lain?

Secara khususnya memang didapati kejadian kebakaran itu berpunca daripada khianat. Siasatan dijalankan oleh polis dan suspeknya belum dikenal pasti.

Apa yang saya tahu, ia membabitkan dua kenderaan klon dan dalam hal ini apabila kejadian itu berlaku, JPJ merasakan sesuatu perlu dilakukan iaitu meningkatkan keselamatan kawasan pejabat.

Kita sedang berurusan secara dalaman menubuhkan Unit Keselamatan Pejabat selain mewartakan kawasan pejabat JPJ sebagai kawasan larangan supaya tidak boleh dimasuki sesuka hati tanpa urusan rasmi.

Secara undang-undang sekarang, ia bebas dimasuki dan JPJ hanya pemilik pejabat, kita perlu mewartakannya demi keselamatan semua pihak.

Apakah tugas dan tanggungjawab Unit Risikan yang ditubuhkan di bawah pimpinan Datuk?

Salah satu tugas JPJ adalah melihat ketidakpatuhan kepada prosedur dan undang-undang jalan raya dan salah satu yang berlaku adalah pemandu tidak patuh kepada arahan atau undang-undang.

Jadi, kadang-kadang tindakan pengguna jalan raya ini bermusim atau ikut lokasi tertentu. Oleh yang demikian, sekiranya JPJ hendak melaksanakan tindakan secara berkesan, ia tidak boleh sebarangan.

Unit ini akan bergerak terlebih dahulu sebelum menyalurkan laporan kepada Bahagian Penguatkuasa untuk tindakan selanjutnya.

Contohnya, unit risik bergerak ke kawasan A dan mendapati banyak lori lebih muatan. Selepas risikan dilakukan lebih tiga hari, laporan akan diberikan kepada bahagian penguat kuasa sebelum tindakan diambil secara terbuka supaya tindakan JPJ lebih tepat ke sasaran.

Unit risikan ini merangkumi lima orang setiap negeri dan 20 orang lagi di ibu pejabat.

Kakitangan unit risikan ini tidak diketahui oleh pegawai lain dalam JPJ dan hanya diketahui oleh pengarah dan timbalan pengarah negeri. Bukan saya tidak percaya kepada mana-mana pegawai, tetapi untuk melihat tindakan lebih profesional.

Unit ini sudah ditubuhkan di semua negeri dan beberapa tindakan yang dijalankan seperti tindakan ke atas bas ekspres pada musim perayaan adalah berpandukan kepada maklumat unit risikan.

Walaupun dipanggil unit risikan, kita uar-uarkan supaya pemandu bas atau pengguna jalan raya dididik.

Untuk makluman semua tindakan JPJ bukan untuk perangkap orang sebenarnya hendak didik dan cegah.

Begitu juga dengan kamera AWAS iaitu sebanyak 17 kamera di lebuh raya, setiap kamera itu akan dipasang peringatan sebanyak tiga kali bermula dari dua kilometer (km), satu km dan terakhir 500 meter sebelum berjumpa dengan kamera.

Jadi kalau kena juga, pemandu itu dengan sengaja tidak patuh kepada undang-undang dan sukar dididik.

Berpandukan kajian kita pada tahun lalu, 90 peratus pemandu patuh kepada undang-undang dengan adanya peringatan seperti ini.

Terdapat 547 kesalahan jalan raya yang boleh diambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 termasuk kesalahan kecil seperti menunggang motosikal dengan lampu tidak bernyala, tetapi yang benar-benar dilaksanakan hanya 23 kesalahan.

Kamera pula hanya merakam dua kesalahan iaitu had laju dan perlanggaran lampu isyarat.

 

Sumber : hmetro

Hantar Komen