Ambil emas tinggal bala

Lipis: Jika membelok masuk ke simpang Kampung Gua, Kuala Lipis, di sini, anda pasti terpesona dengan ketenangan yang dimiliki kampung itu.

Mana tidaknya, sebaik melangkah ke kawasan perkampungan itu, saujana hijau sudah terbentang luas menggambarkan antara sebuah kampung yang terindah di daerah kelahiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Namun, tidak sampai 200 meter (m) pemanduan dari simpang itu sudah ada dua bekas lombong emas yang ditinggalkan tanpa sebarang tindakan menimbusnya kembali, sekali gus meninggalkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat setempat mengenai survival ekosistem di perkampungan itu.

Menurut penduduk Mokhtar Hassan, 64, sekurang-kurangnya ada lebih 15 lombong emas terbiar di kampung itu selepas aktiviti mencari gali bahan galian berkenaan berhenti pada bulan lalu.

Katanya, aktiviti melombong emas yang dimulakan sejak 2014 di Kampung Gua seolah-olah menjadi ‘durian runtuh’ buat sebahagian penduduk apabila mengetahui tanah diwarisi mereka itu kaya hasil bumi.

“Kebanyakan tanah lombong di sini adalah tanah persendirian, milik penduduk kampung. Jadi, apabila menyedari tanah mereka mempunyai emas kebanyakan mereka mula menjalankan aktiviti perlombongan melalui usaha sama dengan syarikat yang mempunyai kepakaran melombong emas.

“Ada juga penduduk yang tidak mahu memajak atau menjual tanah mereka kerana bimbangkan kemusnahan alam sekitar dan kerosakan ekosistem yang bakal dibawa selain sayangkan tanah pusaka diwarisi,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Mokhtar yang juga peniaga runcit di perkampungan itu mendakwa, aktiviti perlombongan di kawasan Kampung Gua dilakukan tanpa mendapat kebenaran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang.

Katanya, aktiviti perlombongan yang dilakukan secara tidak terancang dan terkawal menyebabkan berlaku kemusnahan alam sekitar seperti pencemaran sungai.

SUNGAI Sai di Kampung Gua turut tercemar. FOTO Muhd Asyraf Sawal

“Kami (penduduk kampung) tidak kisah mereka hendak melombong emas kerana ada yang mengatakan ia punca rezeki mereka. Namun biarlah dilakukan secara betul, dapatkan kebenaran pihak berkuasa. Jika dilakukan secara semberono inilah hasilnya (kemusnahan ekosistem).

“Dalam tempoh beberapa tahun perlombongan emas dijalankan di kampung ini, air sungai menjadi sangat keruh. Apabila hujan lebat ia turut mengangkut lumpur dari tapak perlombongan,” katanya.

Tinjauan Harian Metro selama dua hari di kawasan perkampungan itu mendapati dakwaan dibangkitkan ternyata mempunyai asas apabila tapak perlombongan dibiarkan begitu saja tanpa ditimbus semula.

Tindakan itu sekali gus mengundang bahaya kepada penduduk yang terpaksa memikirkan keselamatan anak mereka yang sering memancing di kawasan bekas lombong selain ancaman banjir kilat.

Pada masa sama, Sungai Sai yang mengalir di Kampung Gua turut tercemar apabila dipenuhi lumpur selain sungai yang berwarna kelabu akibat mengangkut tanah dari bekas lombong.

Bagi Mohamad Ali Yek, 66, sudah berbuih mulutnya dan beberapa penduduk membuat aduan kepada pihak berkuasa namun sehingga hari ini tiada sebarang penyelesaian dicapai.

Katanya, tinggal berhampiran Sungai Sai membuatkan dia lebih bimbang apabila melihat sungai yang pada masa lalu menjadi nadi kehidupan penduduk kampung musnah akibat kerakusan tangan manusia.

“Bayangkan sungai ini (Sungai Sai) mengalir hingga ke Kuala Sungai Jelai, kalau setiap hari alirannya tercemar membawa lumpur dan tanah lombong mesti satu hari nanti Sungai Jelai akan turut tercemar.

“Pada masa itu sudah tidak guna lagi. Jadi, saya mohon pihak berwajib tengoklah perkara ini,” katanya yang juga penduduk asal Kampung Gua.

Wartawan turut dibawa penduduk melihat keadaan Sungai Sai yang mengalir sejauh enam kilometer ke Kuala Sungai Jelai dengan sebahagian besar kawasan sungai melalui kawasan bekas lombong yang dibiarkan selepas proses menggali emas selesai dilakukan.

 

sumber :hmetro

Hantar Komen